
11 Oct Kejayaan pelajar Al-Arabiah dalam Olimpiad Matematik
BIJAK MATEMATIK: Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah ialah (dari kiri) Ahmad An-Nafees Mohd Najib, Musa’ab Zailan, Abdul Shakoor Mohammed Al-Firas dan Luqman Jun’en Mohammad Sa’at. – Foto MADRASAH AL-ARABIAH AL-ISLAMIAH
Disiarkan di Berita Harian pada 11 Oct 2018
oleh SITI UMAIRAH ABDUL GHANI
SERAMAI 18 pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) merangkul pingat emas, perak dan gangsa Olimpiad Matematik Singapura dan Sekolah Asia (SASMO) tahun ini.
Lebih 10,000 pelajar dari 20 negara menyertai Olimpiad tersebut.
Menerusi Pertandingan Kanggaru Matematik Singapura (SMKC) 2018 pula, sebanyak 28 pelajar MAI berjaya meraih pingat.
Pelajar Menengah Satu MAI Mus’ab Zailan memenangi pingat emas di SASMO.
Baru-baru ini juga, dia berjaya pula membawa pulang pingat gangsa Olimpiad Matematik Peringkat Junior Antarabangsa (IJMO) yang diadakan di Thailand.
“MAI menawarkan program yang boleh meningkatkan pengetahuan saya dalam bidang ini, terutama sekali program luar darjah. Kami dapat menggunakan apa yang telah dipelajari dalam bilik darjah,” ujar Mus’ab.
Mus’ab pergi ke Thailand mewakili Singapura, bersama tiga pelajar MAI lain dan 69 pelajar arus perdana, ekoran pencapaian baik di SASMO. Empat pelajar MAI berjaya membawa pulang pingat gangsa.
Seorang lagi pelajar MAI yang menyertai IJMO, Ahmad An-Nafees Mohd Najib, berkata:
“Semoga kejayaan bersama ini dapat mempertingkat keyakinan masyarakat bahawa kita juga boleh cemerlang dalam sesuatu bidang kalau kita terus berusaha dan berdoa.”
Sebagai satu-satunya madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS) yang menawarkan pendidikan akademik peringkat menengah, MAI memberi penekanan tinggi pada mata pelajaran seperti Matematik dan Sains.
Pada masa sama, mereka mementingkan penerapan asas agama dalam pembelajaran.
Langkah itu dilakukan menerusi program agama seperti Dirasat Deeniyyah dan program tahfiz Al-Quran.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Islam MAI, Ustaz Abu Bakar Sidik Hassan, program Dirasat Deeniyyah “diolah bagi membincangkan isu terkini yang berkait rapat dengan Islam dan kehidupan Muslim, seperti isu pemakanan halal dan berkhasiat, imej sebenar Muslim, kesederhanaan, kesatuan dalam perbezaan, menangani tekanan rakan sebaya, penjagaan alam semesta dan sebagainya”.
Demi terus menawarkan program secara lebih berkesan, MAI kini dalam proses membina kampus baru serba canggih bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Kampus tersebut dijangka siap pada 2020.
Buat masa ini, madrasah tersebut giat mengumpul dana dan amat mengalu-alukan sumbangan masyarakat.
Bulan depan, MAI akan mengadakan Rumah Terbuka dan Forum Amal dalam usaha mendekati masyarakat.
Dalam acara itu, MAI akan menyediakan tabung derma mengutip dana bagi kampus baru itu.
sumber : https://specials.beritaharian.sg/sgbagus/santai/kejayaan-pelajar-al-arabiah-dalam-olimpiad-matematik
No Comments